Friday, July 25, 2008

Picture courtesy of AbuJohn
Abang,

Lebih kurang 20 tahun dulu. Kita membesar sama-sama di sebuah perkampungan Melayu. Jiran tetangga terlebih peduli tentang kita, hatta salah silap sebesar zarah pun pantas dicanangkan seantero kampung, lebih pantas dari jaringan internet mahupun satelit measat. Kita ke sana sini pasti berdua. Melalui zaman kanak-kanak penuh memori suka duka.

Abang,

Kau ingat tak dulu, kalau ada orang buli adik, mesti kau tarik tangan ajak balik rumah. Tak pernah pun kau lawan balik, walau sekali. Sebab dari awal emak dah pesan, jangan gaduh dengan anak orang, jangan pukul anak orang. Kau lebih rela bawak adik balik rumah, kadang-kala dengan lutut berdarah, betis melecur terbakar api, siku tersagat jalan tar, daripada bertumbuk sepak terajang dengan si pembuli. Hasilnya masih ada parut kekal di sana sini.

Tapi Abang,

Adik tak pernah salahkan kau sebab ikut cakap emak. Adik tak kisah pun kau tak lawan dengan orang yang buli Adik. Sebab Adik belajar protect diri sendiri, dan Adik yakin Adik boleh survive dalam apa jua keadaan sekalipun. Untuk itu, Adik seharusnya berterima kasih pada kau kerana menjadikan Adik kebal seperti hari ini.

Abang,

Tentu kau ingat bila kau dibuli budak-budak nakal. Kadangkala inginkan basikal yang baru emak belikan. Adik akan cuba lawan sungguh-sungguh. Tak kira saiz fizikal bagaimana. Adik tendang basikal, pukul diorang sedaya mampu, paling kurang pun genggam pasir dan baling. Apa saja cara Adik akan buat asalkan adik dapat protect kau. Dan birat-birat di badan Adik bila emak dapat tahu kau main di tepi lombong dengan Fahmi anak Cik Munap, semata-mata sebab Adik nak lindung badan kau dari dipukul. Setiap kesalahan yang kau buat, Adik akan terima hukuman yang sama sebab Adik nak lindung kau. Adik tak nak kau sakit seorang.

Abang,

Kita melalui zaman remaja dengan haluan sendiri. Frekuensi kita berbeza. Rentak kita tak sama. Kita semakin jauh. Lebih banyak kesedihan dan kepayahan daripada kesenangan dan kegembiraan yang dapat dikenang. Seringkali Adik berdoa agar kita masih kekal di alam kanak-kanak supaya jalan kita akan tetap serupa, jiwa kita akan kekal sama. Semuanya terlalu perit untuk diceritakan. Syukur kita masih di bawah bumbung yang sama, kasih sayang masih bersisa.

Abang,

Hari ni kau genap 28 tahun. Adik doakan yang terbaik untuk kau. Walau diberi yang lain sebagai ganti, Adik tetap mahukan kau sebagai Abang, tiada yang lain. Terima kasih. Atas segalanya. Kau tetap yang TERBAIK!

3 comments:

Tyazizul said...

so lovely!!!:X

MOLY said...

happy birthday to ur brother !!
moga dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki

:)

missaussie said...

tya,
thankx :)

lily-lulu,
thankx jugak :)