Pada hari Ahad yang lalu, anakanda telah pergi ke Port Adelaide bersama ahli kumpulan The Housemate Club dengan menaiki bas Adelaide Metro bernombor 118 dari perhentian bas di sebelah gedung pakaian Target.
Rombongan kami diketuai oleh cik yang selalu berjalan perlahan kerana kakinya sakit. Setibanya kami di sana, kami telah melakukan beberapa perkara seperti menaiki dolphin cruise, mengunjungi Sunday Market yang menjual barangan terpakai, bersolat di dalam parents room, sehingga menimbulkan persoalan seperti yang tersenarai di bawah.
- Pernahkah bonda melihat tandas untuk dolphin jantan atau dolphin betina? Ini kali pertama anakanda menyaksikan kejadian demikian
- Lebih aneh lagi, tandas disediakan untuk dolphin yang kurang upaya. Apa kejadahnya semua ini? Anakanda semakin bertambah hairan.
Berikut disertakan beberapa gambar berserta sedikit penerangan untuk tatapan dan makluman bersama.
Bas yang mengangkut oleh ahli rombongan. Jangan risau, anakanda tak mabuk ketika naik bas ni. Anakanda juga tidak berada dalam keadaan mabuk mahupun minum air yang memabukkan.
Destinasi tujuan yang telah kami terjah seawal jam 11.20 pagi. Cuaca tu pura-pura je macam panas, padahal angin bertiup kencang bagaikan mahu terbang sahaja kami semua. Mujur kekuatan dalaman membuatkan kami teguh berdiri melawan arus yang mendatang.
Kelihatan seperti menara kawalan yang sungguh gagah perkasa dapat dilihat dari kejauhan. Tapi bonda, anakanda tak pulak naik ke menara tinjau tersebut, kerana tidak jumpa di mana pintu masuknya.
Kami telah membayar sejumlah AUD3.50 setiap seorang untuk berlayar dengan kapal pelayaran melihat dolphin beraksi di muara laut tapi malangnya doplhin telah mengambil cuti kecemasan pada hari tersebut atas sebab-sebab yang tak dapat dielakkan mahupun dimaklumkan pada khalayak ramai.
Maklumat penting serta garis panduan untuk insan berhati mulia dan memahami mesej yang tertulis dalam bahasa asing. Peliharalah dolphin di lautan bagaikan anda memelihara kehidupan anda sendiri.
Tandas disediakan untuk dolphin jantan dan dolphin betina. Pintu tandas ini tertutup jadi anakanda membuat spekulasi bahawa mereka menyorok di dalam ini dan mogok tidak mahu berenang di lautan. Lantaran itu, kelibat dolphin yang muncul di perairan amat sedikit sekali.
Memang beruntung menjadi binatang ini kerana sekiranya mereka dilahirkan kurang upaya, masih ada tandas disediakan untuk mereka. Anakanda kagum!
Semoga bonda akan berpeluang berkunjung ke sini hujung tahun nanti dan menyaksikan sendiri keanehan seperti yang anakanda sebutkan di atas. Sekian dahulu utusan anakanda buat bonda sekeluarga, Salam untuk semua.
Yang memang benar dan tidak menipu,
Anakanda aka missaussie
No comments:
Post a Comment