Saturday, October 25, 2008

Hai kawan-kawan! Hari ini saya akan membawa anda semua melawat rumah saya. Gambar yang tertera di bawah ini adalah pandangan rumah saya dari sudut sisi sebelah kiri. Seperti yang kawan-kawan dapat lihat di dalam gambar ini, terdapat sebuah bilik utama di bahagian kiri dan sebuah bilik di bahagian kanan. Untuk pengetahuan kawan-kawan semua, bilik di bahagian kanan itu asalnya adalah kawasan ruang tamu yang berpintu kaca, tetapi telah diubahsuai menjadi sebuah bilik yang memuatkan dua orang di dalamnya.


Pandangan dari sudut kanan pula, tertera nombor rumah saya dengan jelasnya. Rumah saya merupakan rumah kedua dari jalan utama. Dalam gambar di bawah, kawan-kawan dapat melihat pintu masuk ke rumah saya yang dipasang jeriji besi berwarna putih di hadapannya. Kebiasaannya, saya menggunakan pintu hadapan ini hanya untuk tetamu yang datang berkunjung, saya pula akan menggunakan pintu di belakang rumah untuk keluar masuk.


Sekarang kita beralih ke bahagian kanan rumah ini. Terdapat pagar kayu yang perlu kawan-kawan lalui untuk masuk ke bahagian belakang rumah ini. Jika kawan-kawan memandu kereta sendiri, sila buka pagar kayu ini untuk meletakkan kenderaan di dalam garaj yang tersedia di belakang rumah saya.


Sebaik sahaja melepasi pagar kayu, kawan-kawan dapat melihat sebuah rumah kecil berpintu hijau. Itu bukan rumah tumpangan ye kawan-kawan, itu adalah garaj yang mampu memuatkan empat buah kereta dalam satu masa. Garaj ini juga dikenali sebagai bilik kurungan yang menjadi bahan ugutan ke atas kanak-kanak nakal yang berkunjung ke rumah ini. Setakat ini, tiada sebarang hidupan pernah tinggal atau sengaja ditinggalkan di dalam garaj ini.


Sekarang tibalah kita di pintu keluar masuk di bahagian belakang rumah. Di sudut kanan di atas pintu ini, kawan-kawan dapat melihat lampu pengesan objek melintas. Sekiranya terdapat sebarang pergerakan objek dalam keadaan gelap, lampu ini akan bersinar dengan terang-benderang. Jika kawan-kawan cuba hendak membuat kejutan dengan kedatangan mengejut di waktu malam, tindakan kawan-kawan pasti akan berakhir dengan kegagalan kerana pastinya kawan-kawan akan kantoi secara terang-terangan.


Owh, lupa pula saya hendak memberitahu tadi. Rumah saya ini terletak berhampiran dengan lapangan terbang, kurang dari sepuluh minit berjalan kaki. Tapi kalau kawan-kawan jalan berlenggang kangkung Mak Limah, belum tentu lagi boleh sampai dalam masa setengah jam. Setiap hari telinga saya akan dihidangkan dengan bunyi kapal terbang yang ingin mendarat. Malah, saya dapat melihat dengan jelas tingkap kapal terbang tersebut semasa ia berada di udara. Saya tak dapat menunjukkan dengan lebih jelas kepada kawan-kawan kerana saya hanya menggunakan kamera telefon bimbit sahaja.


Sekian sahaja kisah mengenai rumah saya. Sekiranya kawan-kawan bercadang mahu berkunjung ke rumah saya, sila maklumkan terlebih dahulu, supaya saya dapat menyediakan hidangan yang enak. Jika tidak, sila bawa sendiri makanan untuk kawan-kawan dan juga ahli rumah ini yang sentiasa dalam keadaan kelaparan. Dengan ini, saya mengalu-alukan kedatangan kawan-kawan dan saya pastinya sentiasa bersedia menerima kunjungan tetamu. Sampai jumpa lagi kawan-kawan. Tata. Titi. Tutu.

2 comments:

Memey Anuar said...

saya nak pergi rumah kamu sgt comellll!

meanie mean said...

oiitt...aku nak g bila la umah korg..cam malas nyer nak jln..hhuuuhhuhuuhuh...
takper bila aku nak g..ko prepare grand2 ehh