Sunday, October 26, 2008

Pada hari Ahad lebih kurang tiga minggu yang lalu, saya telah mengikuti rombongan ke Barossa Valley anjuran International Student Centre di universiti saya. Dalam rangka lawatan itu, kami telah dibawa melawat ke tiga buah kawasan pemprosesan wine, termasuklah sebuah kawasan yang dinamakan Château Tanunda yang merupakan sebuah Château yang tertua dan terbesar di Australia. Château ini telah dibina pada tahun 1890 yang menjadi ikon pada Barossa Valley.


Ketika berkunjung ke sini, kami telah ditawarkan untuk mencuba wine secara percuma, tetapi memandangkan 90% dari ahli rombongan kami beragama Islam, kami hanya mengadakan sesi bergambar secara berjemaah. Seperti yang tertera dalam gambar di bawah, bangunan dua tingkat berwarna pink ini merupakan bangunan utama di Château Tanunda.


Untuk makluman pembaca, South Australia, terutamanya Barossa Valley merupakan kawasan pengeluar wine terbaik di Australia dan antara yang terbaik di dunia. Tidak hairanlah jika terdapat beribu pusat pengeluaran wine di sini. Proses penapaian wine biasanya dilakukan di dalam sebuah alat yang dikenali sebagai traditional wooden open ferments yang dapat memuatkan sehingga 3 tan wine dalam satu masa. Gambar di bawah ini menunjukkan saiz mini bagi alat tersebut.


Bangunan di bawah ini juga merupakan sebahagian dari kawasan yang terlibat dalam urusan pemprosesan, pentadbiran dan penjualan produk di Château Tanunda. Sekiranya berkunjung ke sini, wine akan dapat dibeli pada kadar harga lebih murah berbanding harga pasaran. Perlu diingatkan kepada pembaca yang beragama Islam, urusan jual-beli wine adalah HARAM di sisi agama, walaupun sekadar untuk menghadiahkan kepada mereka yang bukan beragama Islam.

Lawatan saya diteruskan ke beberapa buah tempat yang menarik seperti The Big Rocking Horse, Menglers Hill Lookout, Whispering Wall dan Angas Park Fruits Laporan bergambar seterusnya akan disiarkan selepas tamat peperiksaan akhir nanti. Sampai jumpa lagi ya?

No comments: