Sunday, January 31, 2010

Kisah Curang Satu
Pasangan yang berkenalan di tempat kerja lalu berkahwin dan mempunyai seorang anak berusia kurang 2 tahun. Isteri bertukar tempat kerja lain, sedang mengandung 5 bulan anak kedua. Suami naik pangkat menjadi pelatih untuk pekerja baru, berkenalan dengan seorang janda yang menjalani latihan di bawahnya. Bermula skandal biasa kononnya, tapi akhirnya sampai berkongsi katil. Isteri sarat mengandung, anak masih perlukan kasih manja, tapi kerana gilakan si janda, talak dilafazkan pada si isteri. Agaknya suami meletakkan otak di mana? Sudahnya isu dibawa ke pengetahuan pihak atasan, suami diturunkan pangkat, dikenakan tindakan disiplin dan dipulaukan rakan sepejabat. Apa agaknya nasib anak yang masih mahu bermanja dengan si bapa, dan apa pula nasib anak yang masih di dalam perut yang tak tahu apa-apa?

Kisah Curang Dua
Seorang lelaki di peringkat usia 60 yang beristeri dua dan sudah bercucu. Menjalinkan hubungan dengan si gadis yang sebaya usia anaknya sehingga berani masuk meminang namun ditentang bapa si gadis. Si isteri kedua mendapat tahu lalu bertindak menyamar menjadi si gadis usia 20 berkenalan melalui sms dengan si suami. Mendapat layanan mesra dan manja sehingga berani si suami mengajak ke hotel berkongsi katil, hanya melalui sms. Tak pernah bersua muka, tak pernah mendengar suara, hanya baris-baris ayat manja sms sudah cukup untuk mengajak ke kamar tidur. Tak cukup berbini dua, mahu ditambah pula yang ketiga?

Kisah Curang Tiga
Si isteri seorang pegawai atasan kerajaan lulusan universiti, si suami seorang pekerja bawahan yang cuma tamat pengajian peringkat menengah. Punya anak seramai 4 orang yang kesemuanya perempuan dan masih bersekolah. Kerana cinta dan sayang, semua hasil titik peluh si isteri diserahkan sepenuhnya pada suami, malah setiap malam bersengkang mata membuat kuih untuk diniagakan bagi menambah pendapatan dan menampung gaji suami yang kecil. Suami bergaya ke sana sini dengan kereta milik isteri dan mewah dengan telefon bimbit ribuan ringgit berjenama terkenal.
Suami berkenalan dengan seorang wanita warga asing dan melangsungkan perkahwinan di negara jiran dalam diam. Hampir setahun berahsia, si isteri mendapat berita lalu mendesak minta diceraikan. Terus talak tiga dilafazkan, malangnya suami yang terpaksa bungkus kain baju keluar dari rumah milik si isteri. Semua kemewahan suami terpaksa dipulangkan kembali, lebih malang lagi semua anak dibebankan pada suami untuk dijaga dan dibesarkan. Si isteri yang terluka dan tidak dapat memaafkan suami, mahu belajar hidup sendiri dan nampak bahagia dengan jalan yang dipilih.
Isteri baru warga asing menunjukkan belang sebenar dan tidak mahu tinggal serumah dengan anak tiri. Sudahnya anak seramai 4 orang dihantar pada nenek di kampung, terpisah dengan ibu dan ayah, hanya kerana suami menangkan perasaan si isteri baru. Salah siapa agaknya bila anak mula tunjuk perasaan dan tak jadi macam apa yang diharapkan?

No comments: