- Masih wujud rupanya manusia yang hidup di alam fantasi, meriwayat kisah indah penuh ceria dan bahagia seolah dunia milik dia. Penat melayan ragam manusia yang tidak pernah memandang rumput di bumi setiap kali merenung bintang di langit. Tapi, manusia ini juga jadi the source of free entertainment. Jelik tapi nyata menghiburkan.
- Kadangkala kita rasakan sudah cukup dengan segala nikmat kurnia Tuhan, dan puas panjatkan rasa syukur atas segala pemberian-Nya. Anehnya, ada juga manusia yang di luar sana bersusah-payah fikirkan kehidupan kita, mempersoalkan itu ini, begitu begini. Kenapa tidak digosok saja kain sendiri yang berkedut, daripada sibuk menampal koyak di kain orang lain?
- Manusia yang dianugerahkan akal bijak, punya pendidikan tinggi, tidak semestinya bijak berfikir dan bertindak. Kebijaksanaan juga mampu menonjolkan kebodohan yang tak pernah disedari. Apa yang lebih menyedihkan, segala tindak-tanduk dianggap betul belaka kerana dia lebih cemerlang dari sudut akademik. Bolehkah ilmu hidup dan hukum alam dipelajari di universiti? Kesian, tapi lebih baik diabaikan untuk elak pergaduhan.
- Bersyukur bila kita didedahkan pada realiti hidup dan belajar menerima hakikat, qada' dan qadar. Sedih bila melihat orang lain masih lagi di alam khayalan, tidak dapat berpijak di bumi nyata bila terbuai dek angan yang bakal memusnahkan. Doa saja supaya segera dia diberi kesedaran sebelum terlalu lambat untuk berpatah balik ke garisan mula.
- Menghapuskan segala tanggapan negatif dan berfikiran baik nyata membuat hati tenang, hilang segala kekusutan yang bersarang. Memaafkan walau payah untuk melupakan, telah memberi kesan keceriaan berpanjangan. Harapnya terus dikekalkan sebegini di masa akan datang agar terlerai segala dendam tersimpan.
- Perkara terbaik yang perlu dilakukan dalam keadaan sekarang adalah berhenti mengambil peduli, memberi cadangan dan membuat keputusan untuk orang lain. Niat baik memang selalu disalahertikan, jadi untuk apa membodohkan diri membantu pada yang tidak pernah harapkan pertolongan?
- Berdiam diri dan jadi pemerhati terhadap lakonan pentas dunia memang aktiviti yang menarik dan menyeronokkan. Manusia yang tidak pernah sedar diri mahupun yang berusaha gigih untuk jadi pujaan ramai, adalah sumber hiburan terkini yang seharusnya diberi penghargaan atas segala yang dilakukan.
- Selalunya apa yang kita suka menjadi kebencian orang lain. Bukan semua orang berfikiran sama dan kita sama sekali dilarang memaksa akal fikiran kita diterima sewenangnya. Jika si luncai tetap mahu terjun dengan labu-labunya, biarkan saja dia terus tenggelam. Hidup ini tetap sama, tetap indah, tetap gundah.
Thursday, June 18, 2009
Words of the day: Mendabik dada sampai ke langit ketujuh (TyM, 2009)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment